Salah satu pemandangan menarik di Putrajaya adalah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkubah logam berkilauan disimbah cahaya matahari. Tempat popular di kalangan pengunjung ini adalah masjid kedua di Putrajaya, selepas Masjid Putra. Ia direka bentuk untuk menampung kira-kira 24,000 jemaah. Dibina di sebelah Tasik Putrajaya, bangunan digelar Masjid Besi ini menonjolkan kehadiran dan kekuatan Islam sebagai agama rasmi negara. Ia memperkenalkan konsep besi yang diinspirasi daripada reka bentuk Masjid Roma (Moschea di Roma), di Parioli, Rom. Laluan menuju ke masjid, yang dikenali sebagai Kiblat Walk, diadaptasi daripada istana silam Alhambra. Dinding mihrab diperbuat daripada panel kaca setinggi 13 meter, dihiasi dengan dua surah daripada Al Quran: Surah Al-Baqarah di sebelah kanan, manakala Surah Ibrahim di sebelah kiri.