Taman Saujana Hijau, dengan konsep "Salem High Country", merupakan destinasi yang digemari, diseliputi sepenuhnya oleh pokok pain dan cemara, memberikan suasana seakan-akan berada di kawasan pegunungan tinggi di Eropah. Taman Saujana Hijau dikelilingi oleh pelbagai jenis tumbuhan gymnospermae termasuk pokok pine, juniperus, thuja, dan tumbuhan cycad dari Queensland, Australia.
Terdapat 3 bustan (taman) yang telah dibina pada setiap bahagian di taman ini, iaitu Bustan Inggeris, Bustan Oriental, dan Bustan Eropah. Ruang pejalan kaki yang berkelok-kelok dan lorong basikal menyelusuri sepanjang taman, menggamit pengunjung untuk melakukan larian pagi atau berbasikal secara santai. Saksikan keindahan alam semasa taman diliputi kilauan embun pagi, burung pemangsa terbang di bawah mentari petang, serta angin sepoi-sepoi bahasa membelai kulit. Sama ada berjoging, berkelah, atau mengambil gambar perkahwinan, Taman Saujana Hijau menjanjikan tempat untuk mencari ketenangan dan mengagumi keindahan alam.