Tersergam megah di puncak tertinggi Putrajaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) merupakan mercu tanda yang moden dan elegan, direka dengan teliti menjadi tapak untuk menjayakan sebarang acara dan persidangan dengan terperinci penuh keanggunan. Reka bentuk binaannya yang ikonik diilhamkan daripada rekaan "Pending Perak", sejenis kepala tali pinggang bersalut perak yang sering dipakai oleh Raja-raja Melayu. Manakala, rekaan dalaman pula diolah menggunakan fabrik mewah yang sering dipakai secara tradisional bersama tali pinggang perak.
Dengan keluasan 135,000 meter persegi (1.3 juta kaki persegi), PICC berupaya menampung sehingga 8,000 tetamu dalam satu-satu masa. Selain itu, PICC juga menawarkan kemudahan Dewan Plenari yang mampu memuatkan sehingga 3,000 delegasi, Dewan Bankuet untuk 2,500 tetamu, dua dewan serba guna, 11 bilik mesyuarat yang boleh memuatkan sehingga 20 orang setiap satu, dan satu kamar VIP/VVIP.