Jambatan Putra menghubungkan kawasan kerajaan dengan kawasan pembangunan dan menghubungkan Dataran Putra dengan Persiaran Perdana. Jambatan ini, yang siap dibina pada tahun 2000, terinspirasi daripada seni bina dan reka bentuk Jambatan Khaju yang terkenal di Isfahan, Iran. Merentangi sepanjang 435 meter, jambatan tiga tingkat ini menyediakan akses kenderaan dan pedestrian di aras tanah serta terowong monorel di tingkat kedua. Pada aras terendah terdapat empat tiang membentuk sokongan struktur utama bagi regangan lengkung dan dek-dek di atasnya. Terdapat jeti pada salah satu tiang di mana bot berlepas untuk pelayaran mengelilingi tasik. Panel dalaman pada dinding menara tiang direka sebagai pagar dengan corak geometri dan motif arabesque. Arkitek Kumpulan Senireka menyatakan bahawa selain berfungsi sebagai pengudaraan semulajadi untuk tangga-tangga di dalam, pagar-pagar ini juga memancarkan kesan bercahaya daripada lampu pada waktu malam.