TOURISM PUTRAJAYA

Berita

Sidang Kemuncak Asean 2025

21 May 24

Sekretariat Kepengerusian ASEAN perlu memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian lokasi di Malaysia bagi memastikan semua negeri dapat menikmati limpahan ekonomi susulan penganjuran sidang kemuncak blok serantau itu tahun depan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta supaya diteliti agar bukan kawasan bandar sahaja yang mendapat manfaat tetapi secara khusus, ia bergantung kepada program yang akan diadakan.

"Jadi kita tidak membezakan antara bandar dan luar bandar tetapi memanfaatkan program yang akan dilaksana... kita akan bersikap adil untuk memastikan limpahan ekonomi itu dapat dirasai di semua negeri,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Anwar juga menggesa agar semua cenderahati sempena penganjuran sidang kemuncak itu berkonsepkan kraf tangan Malaysia.

Beliau berkata, justeru, Perdana Menteri meminta supaya perkara itu diteliti dan diselaras bagi memastikan para artisan atau pembuat kraf dapat terlibat secara besar-besaran sepanjang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Jumaat lepas, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai persiapan Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN, tiga kluster utama diwujudkan iaitu politik, pertahanan dan kewarganegaraan (di bawah Kementerian Luar); ekonomi dan perdagangan (di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) serta budaya dan sosial (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).